Projek kongsi rezeki bantu mahasiswa menjelang musim peperiksaan

Jan 06 2017

 

Kuantan, 3 Januari 2017- Pengalaman membeli makanan dengan harga murah pastinya akan sentiasa diingati mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) terutamanya menjelang musim peperiksaan. Program yang dinamakan Projek Kongsi Rezeki 2.0  anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) ini adalah suatu inisitaif  dalam menyediakan  juadah makan tengah hari termasuk air minuman kepada mahasiswa UMP dengan  harga serendah RM1.00 sahaja serta makan malam bermula pada 3 hingga 7 Januari ini.

Projek kongsi rezeki yang masuk tahun kedua penganjuran ini dijalankan bagi membantu mahasiswa yang kurang berkemampuan dari segi kewangan. Projek ini juga mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar dan dijalankan serentak di kedua-dua kampus kampus Gambang dan Pekan.

Turut sama turun padang menyampaikan makanan kepada pelajar ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yusserie Zainuddin.

“Pihak JHEPA sentiasa mengambil berat berkaitan isu-isu yang berkaitan dengan mahasiswa agar mereka dapat memberi tumpuan terhadap peperiksaan dan tidak menganggu pembelajaran mereka sepanjang pengajian,” katanya.



 Mahasiswa hanya perlu membayar RM1 dan mempamerkan kad pelajar ketika mengambil makanan dan semua mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian  diploma dan ijazah di kedua-dua kampus layak menerima manfaat ini.

Jelasnya, UMP serius menangani isu kebajikan pelajar dan sentiasa meningkatkan usaha dalam membantu golongan yang memerlukan termasuklah memperkenalkan program  MyGift UMP yang mengalakkan seluruh warga dan orang ramai turut sama menyumbang bagi membantu insan lain.

Malahan program ini juga mensasarkan golongan yang berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan yang ditahan PTPTN hingga terpaksa mengikat perut untuk menikmati makanan kerana faktor kekurangan sumber kewangan terutama pada waktu peperiksaan.

Pihaknya menghargai syarikat korporat dan pihak luar yang sama-sama menyumbang dalam menjayakan Projek Kongsi Rezeki ini. 

Sementara itu, bagi Nur Sakinah Tajuddin dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik,22 berkata biasanya pada hujung semester ini kebanyakan mahasiswa berdepan dengan kekangan kewangan dan pemberian makanan dengan RM1 ini sangatlah bernilai bagi meringankan beban mahasiswa.

Program MyGift ini diperkenalkan sebagai kemudahan kepada warga kampus dan alumni serta pihak luar terutamanya daripada industri mahupun syarikat untuk sama-sama menyumbang kepada tabungan dan endowmen universiti.

Sumbangan daripada semua pihak termasuk warga UMP melalui potongan gaji,derma pelajar, alumni dan individu serta badan-badan korporat dalam menyokong pembudayaan menderma demi memakmurkan ilmu pendidikan ini pastinya dapat melonjakkan kegemilangan universiti dalam merealisasikan Pelan Strategik UMP (2016-2020)  bertemakan menjana kegemilangan.

Disediakan Nor Fadzillah Zulkipli dari Bahagian Komunikasi Korporat PNC