Larian amal UMP kumpul dana 10 ribu untuk Tabung MyGift

Sep 28 2016

 

  Kuantan, 24 September- Larian Amal UMP Splash Run '16 anjuran Jabatan Hal- Ehwal Pelajar dan Aumni (JHEPA) hari ini berjaya mengumpulkan 10 ribu ringgit daripada penyertaan membabitkan seramai 1,000 penyertaan yang terdiri daripada mahasiswa, badan korporat dan komuniti setempat. Program ini sebagai usaha mengumpul dana bagi Tabung MyGift untuk kebajikan pelajar. Inisiatif MyGift ini dalam usaha menjadikan UMP universiti komuniti sekaligus mendapatkan sumbangan endownmen untuk keperluan pelajar berprestasi tinggi.

  “Dana yang berjaya dikumpul akan digunakan sepenuhnya untuk membantu pelajar kurang berkemampuan yang menuntut di universiti ini. Selain itu, program ini turut mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar dan warga kampus. Hadir merasmikan program, Naib Canselor UMP,Professor Dato’ Dr Daing Nasir Ibrahim melepaskan peserta larian pada jam 8.00 pagi.

  Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, usaha ini adalah sebahagian daripada Inisiatif MyGift yang diperkenalkan UMP dalam usaha menjadi universiti komuniti.

  “Penganjuran kali pertama ini mendapat sambutan yang luar biasa kerana hasrat kita adalah untuk mencari dana bagi mengisi Tabung MyGift”. Usaha mengumpul sumbangan daripada mana-mana pihak bagi menyalurkan sumbangan endowmen bagi tujuan tajaan pelajaran, penyediaan kemudahan prasarana kepada pelajar mahupun membudayakan semangat membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

   Pada penganjuran kali ini peserta berlari sejauh 7.5 kilometer bermula dari Kompleks Sukan UMP mengelilingi kampus di UMP Gambang. Muhammad Irfan Bin Jaffar,23,Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik yang mengemari acara larian sebegini tidak melepaskan peluang meyertai larian amal anjuran universiti. “Acara larian seperti ini dapat memberikan satu kepuasan kepada peserta kerana dengan bayaran hanya RM21.00 ke tabung Mygift para peserta mendapat pelbagai kemudahan dan persiapan sebelum larian. Selepas ini saya harap ada lagi aktiviti seperti ini dari pihak MyGift UMP "katanya.

  Turut hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pendaftar Encik Abd Hamid bin Majid. Tabung MyGift diperkenalkan tahun lalu sebagai medium pihak luar, alumni dan industri untuk sama-sama menyumbang kepada tabung endowmen universiti. Majlis pelancaran MyGift UMP dan pengurniaan biasiswa UMP bakal disempurnakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muadzam Shah pada 1 Oktober 2016 ini yang berlangsung di Mandarin Oriental Hotel Kuala Lumpur.