Ziarah Prihatin Alumni beri sinar 45 keluarga sambut Aidil Adha

Sep 07 2016

 

Kuantan, 3 September  2016- Persatuan Alumni Universiti Malaysia Pahang (Alumni UMP) dengan kerjasama NGO I-Bantu Pahang, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP (JHEPA) dan Kolej Kediaman 4 baru-baru ini menganjurkan Program Ziarah Prihatin Aidiladha 2016.

  Program melibatkan seramai 75 orang sukarelawan alumni UMP termasuk  mahasiswa, staf serta sukarelawan i-Bantu Pahang yang menyertai ziarah ini dengan memfokuskan pengagihan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan harian kepada mereka yang kurang bernasib baik yang terdiri daripada golongan fakir miskin, warga emas, ibu tunggal, penghidap sakit kronik, dan golongan orang kelainan upaya (OKU) di tiga buah kampung sekitar Kuantan.

  Menurut Pengarah Program ini, Amirul Mohd Yusof  berkata, program ini diadakan bertujuan untuk menyantuni anak-anak yatim selain merapatkan hubungan antara warga UMP dan masyarakat setempat selain berkongsi kasih sayang dan kegembiraan menyambut Aidiladha yang bakal tiba .

  “Program ziarah ini berjalan serentak di tiga buah lokasi iaitu Kg. Sg. Isap, Kg. Kurnia, Kg. Jaya Gading, dan ziarah tiga buah rumah anak-anak yatim, iaitu Rumah Anak Yatim Permata Insyirah, Rumah Anak Yatim Permata Camar, dan Rumah Anak Yatim Amal Hembusan Kasih Taman Guru,” katanya. Seramai 45 buah keluarga telah menerima sumbangan yang berupa pek barangan keperluan harian yang mengandungi beras, minyak masak, tepung, kicap, gula, teh, susu dan lain-lain.

    

    

  Seorang penerima sumbangan Senimah Senin,38 tahun yang merupakan ibu tunggal kepada tujuh orang anak berkata, beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak alumni universiti ini yang sudi hadir menghulurkan bantuan barang-barang makanan untuk persiapan raya.

  Begitu juga dengan bapa kepada lapan orang anak, Yusoff Jaafar,54 tahun yang bekerja sebagai buruh kilang  turut menyampaikan rasa syukur kerana tiada lain yang lebih bermakna dalam hidupnya selain melihat senyuman di wajah anak-anak kerana makanan mereka mencukupi walaupun tidak mewah seperti orang lain. Selain daripada pengagihan sumbangan, program ziarah ini juga turut melaksanakan gotong-royong membersihkan kawasan sekitar Pantai Sepat, Kuantan melibatkan 40 orang sukarelawan terdiri daripada mahasiswa Kolej Kediaman 4 UMP.

  Program Ziarah Prihatin Aidiladha ini  adalah sebahagian usaha pihak alumni UMP dalam menyokong usaha UMP dalam inisiatif MyGift dalam membantu insan lain serta dapat melaksanakan tuntutan tanggungjawab sosial terhadap komuniti setempat.