Konvoi Bermotosikal Sambut Merdeka

Sep 07 2016

 

Pekan 28 Ogos - Seramai 130  peserta yang terdiri daripada ahli Kelab Kebajikan Mesra Dakwah Parlimen Pekan (PERAMAH)  dan pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai Konvoi Bermotorsikal sempena sambutan menyambut kemerdekaan yang berlangsung di UMP Pekan baru–baru ini. Konvoi  bermotorsikal itu diketuai oleh  Penasihat Kelab Peramah Dato' Mohd Nizar Mohd Najib dalam program anjuran  Kelab Kebajikan Mesra Dakwah Parlimen Pekan (PERAMAH)  dan UMP.

   Peserta melalui perjalanan sejauh 50 kilometer itu melibatkan laluan bermula dari Perkarangan Kediaman YAB Perdana Menteri di Pekan menuju singgah di Pejabat ADUN Peramu Jaya, Dato’ Sri Sh Mohamed Puzi Sh Ali dan Pejabat Mufti Pahang, Pekan serta berakhir di UMP Pekan. Dalam masa yang sama berlangsung Ceramah Kemerdekaan yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato' Dr Yuserrie Zainuddin dengan tajuk “Pengorbanan dan Kemerdekaan”.

   Dalam ceramahnya beliau menekan agar memupuk semangat bersatu padu yang telah menjadi amalan dalam kalangan rakyat Malaysia, keberanian dan kecekalan mereka yang terdahulu telahpun berkorban yang perlu dihargai. "Sifat kepahlawanan mereka telah memberi kebebasan kepada kita untuk mencorakkan bumi Malaysia yang tercinta ini. Sekarang ini telah tiba masanya untuk kita pula menyambung perjuangan mereka dalam mengekalkan kemerdekaan negara ini,” katanya.


 
   Sementara itu, Dato' Mohd Nizar berkata, program ini juga dapat menjadi platform membentuk semangat berpasukan dalam kalangan belia dan  pelajar universiti selain menerapkan budaya disiplin dan patuh peraturan jalan raya. Beliau turut menasihati para belia agar menanam semangat setia kepada negara supaya nikmat kemerdekaan dapat dikekalkan di negara yang kita cintai ini.

  Manakala menurut pengarah program merangkap Setiausaha Peramah, Mohd Khairul Anuar Mohd Khalyubi berkata, konvoi yang pertama kali diadakan ini bertujuan memeriahkan sambutan kemerdekaan ke 59. Malahan, kelainannya pada hari ini peserta konvoi akan berkonvoi sambil memakai Baju kebangsaan kita iaitu Baju Melayu. Beliau mengharapkan konvoi seperti ini akan menjadi ikutan warga belia.

   Selain itu, konvoi ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara belia di Daerah Pekan dengan pelajar UMP serta mereka bercadang menganjurkan lebih banyak program seumpama ini pada masa hadapan.