Seramai 2150 Sukarelawan IPT Bantu Operasi Pasca Banjir

Jan 21 2015

Kuantan, 17 Januari- Seramai 2150 orang sukarelawan institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara termasuk Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) hari ini turun padang meneruskan usaha  membersihkan 12 lokasi pembersihan kawasan penempatan penduduk dan sekolah sekitar negeri Pahang. 

Misi bantuan melibatkan 16 di kalangan universiti awam dan swasta serta kolej komuniti. Dalam program ini sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Kg. Paya Pasir Chendor, Pulau Rusa dan SMK Peramu Jaya, Universiti Malaya (UM), Universiti Tun Hussin Onn (UTHM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) di SK Temai, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kg. Pulau Manis, University Multimedia (MMU) di SK Paloh Hinai dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) di Kg. Sawah.

Sukarelawan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Segamat di Masjid Pulau Rusa, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Kg. Sebelah Chendor, Kolej Teknologi Alpha di SK Tanah Rom, UiTM Melaka di Guai, Bera, Universiti Sains Malaysia (USM) di Kg. Sekara dan bandar Lama Chenor. Kolej Komuniti (KK) Paya Besar, KK Rompin, KK Jerantut, KK Pekan dan KK Kuantan di Kg. Tebal Temerloh serta YSS di Kampung Paya Pasir Penor. 

Majlis pelepasan sukarelawan dirasmikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) USM, Profesor Dr. Adnan Hussein dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM, Profesor Datin Noor Aziah Mohd. Awal. Turut sama Pengarah Bahagian Pembangunan Mahasiswa Jabatan Pengajian Tinggi dan Pemangku Pendaftar UMP, Abd. Rahman hj. Safie.

 

 

Dato’ Dr. Daing Nasir berkata, operasi pasca banjir hari ini melibatkan sukarelawan staf dan mahasiswa universiti secara besar-besaran secara serentak yang memfokuskan kediaman dan pembersihan kawasan sekolah untuk melancarkan sesi persekolahan yang tergendala.

“Susulan bencana banjir luar biasa yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia  menggesa semua mahasiswa IPT menghulurkan bantuan bagi operasi  membantu mangsa pasca banjir.”

“Sebagai menyokong saranan ini, pihak UMP dengan kerjasama Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) menjalankan operasi menyelaras pergerakan sukarelawan dari seluruh IPT. Selain itu juga UMP turut terlibat sebagai Sekretariat Pasca Banjir Negeri Pahang bagi menyelaras aktiviti kesukarelawanan,” katanya.   

Tambah beliau, UMP juga membantu dalam menyediakan kemudahan penginapan yang diuruskan pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni  dan Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) bagi penyediaan makanan kepada petugas sukarelawan agar urusan membantu mangsa banjir berjalan lancar.

Staf UPSI, Muhammad Fazzry Mohammad Rahman, 25 berkata, penglibatan kali kedua dalam operasi seperti ini sangat menginsafkan apabila melihat kesusahan yang dialami mangsa banjir. Begitu juga dengan mahasiswa UMP, Nurul Atikah Muhammad Arbi, 22 dari Fakulti Pengurusan Industri yang buat pertama kalinya berpeluang menyertai aktiviti pembersihan ini bersyukur kerana berpeluang menyertai program ini.

UMP menerusi Bilik Kawalan dan Operasi Bencana (BKOB) di UMP Gambang dan UMP Pekan telah menerima seramai 6612 sukarelawan staf dan mahasiswa universiti dari UMP dan IPT lain yang berdaftar dalam menyumbang tenaga dan membantu misi kesukarelawanan sejak bencana banjir melanda di Pantai Timur.      

Disediakan Unit Perhubungan Awam, Bahagian Komunikasi Korporat PNC