Alumni UMP Turun Padang Bantu Mangsa Banjir Temerloh

Jan 13 2015

 

Temerloh, 3 Januari 2015 -  Seramai 12 orang di kalangan alumni UMP menyertai program kesukarelawanan bagi membantu mangsa banjir di sekitar Kg. Liut dan di Sekolah Kebangsaan Guai Temerloh. Mereka berpeluang bertemu dengan masyarakat Kg. Liut dalam usaha membantu membersihkan rumah, klinik dan sekolah yang dipenuhi lumpur akibat bencana banjir yang melanda daerah ini baru-baru ini. 

Sukarelawan yang terdiri daripada alumni pelbagai fakulti ini sanggup meluangkan masa selama tiga hari dalam menjayakan misi kesukarelawan untuk membersihkan lokasi tersebut. Menurut Siti Nor Maziah Ehsan, 31 yang mengetuai misi ini berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu meringatkan beban penduduk yang ditimpa bencana sekaligus menyampaikan sumbangan yang dikutip daripada alumni untuk diserahkan kepada mangsa.

"Sebagai persediaan, kami telah membawa peralatan membersihkan rumah bagi memudahkan kerja pembersihan menggunakan peralatan cucian yang disediakan melalui penyelarasan JK Bencana Peringkat Universiti di Bilik Gerakan Banjir UMP.“Sejurus mengetahui mengenai bencana ini,  kami berkumpul dan menyediakan keperluan dan sumbangan bagi untuk membantu penduduk kampung yang menjadi mangsa banjir.

   

“Berdasarkan pengalaman saya, bantuan kerja sukarela perlu kerana apabila mereka pulang ke rumah selepas banjir pulih, mereka buntu untuk membersihkannya kerana keadaan rumah teruk dengan lumpur dan sampah sarap,” katanya. Manakala menurut seorang sukarelawan, Hanafi Hashim, 30, yang kini berkhidmat di Sabah berkata, jarak yang jauh tidak menghalangnya untuk sama-sama menyertai aktiviti kesukarelawan ini.

Katanya, beliau amat tersentuh melihat  keadaan mangsa banjir ini apabila rumah yang penuh dengan lumpur dan sampah sarap dan apa yang menyedihkan juga peralatan barang elektrik juga turut rosak. Tugas kumpulannya lebih memberi tumpuan terhadap kepada pembersihan tempat tinggal, sekolah dan klinik tersebut. Katanya, memandangkan komitmennya yang bertugas di sabah, sekiranya ada masa terluang nanti masih ingin menyertai aktiviti kesukarelawan ini. 

Kumpulan alumni ini merupakan salah satu kumpulan daripada 1200 orang penyertaan di kalangan warga UMP yang melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan banjir akibat bencana yang menimpa di beberapa negeri di pantai Timur.

Disediakan Unit Perhubungan Awam, Bahagian Komunikasi Korporat PNC