UMP Agih Sumbangan Mangsa Banjir Perkampungan Bukit Rangin

Jan 06 2015

 

Kuantan, 3 Januari- Misi kesukarelawanan Universiti Malaysia Pahang (UMP) diteruskan dengan mengagihkan bantuan kepada seramai 130 penduduk di perkampungan Bukit Rangin yang teruk dilanda banjir baru-baru ini. Jelas terpancar kegembiraan di kalangan penduduk yang hadir bersama  menerima sumbangan berbentuk makanan, peralatan mencuci dan selimut ini. Hadir menyampaikan sumbangan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim bersama Ahli Parlimen Kawasan Paya Besar, Dato Haji Abdul Manan  Ismail dan ADUN Panching, Dato Mohd. Zaili Haji Besar. Turut hadir Ketua Timbalan Pendaftar, Datin Fazia Ali yang juga penasihat Persatuan Wanita UMP (Matahari).

Seramai 40 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan warga kerja UMP turut sama turun padang membantu dalam menjayakan misi ini. Dalam menyampaikan ucapan, Dato Haji Abdul Manan menyeru penduduk kampung agar bersyukur dengan banyak bantuan yang diterima. Beliau juga berbangga dengan usaha UMP dan sukarelawan pelajar dan staf yang turut sama membantu meringankan beban penduduk.

Sementara itu, menurut Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim, usaha membantu mangsa banjir ini digerakkan oleh  Jawatankuasa Bertindak Bencana Peringkat Universiti (JBBP) dalam  menyelaras aktiviti kesukarelawanan bagi membantu petugas dan agensi-agensi yang terlibat di pusat penempatan banjir termasuk menguruskan bekalan makanan, memasak dan membantu petugas di pusat penempatan banjir sekitar Kuantan, Maran, Temerloh dan Pekan.

   

   

“Sungguhpun pelajar dalam waktu peperiksaan semester akhir namun atas dasar keperihatinan sukarelawan turun padang membantu sejak hari pertama banjir melanda Kuantan. Di antara penempatan ini termasuklah  di SJKC Chung  Ching, SMK Pandan, SJKC Taman Tas, SMK Tanah Putih,             KKTM Batu 5, SMK Panglima Perang, SUKPA, Dewan JPS, Kemunting, Wisma Belia,IKBN dan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Indera Mahkota serta sekitar Kuantan dan Pekan,” katanya.

UMP juga menghantar sukarelawan bagi operasi pemulihan pasca banjir di SK Telok Jering dan SK Sungai Pinang manakala para alumni UMP juga menyumbang bakti dengan membersihakan Klinik Desa Paya Pulai dan di Kampung Luit Maran.   

Begitu juga usaha yang dibuat melibatkan Jawatankuasa Kebajikan dengan kerjasama Persatuan Wanita UMP (Matahari) dalam usaha mengumpulkan sumbangan makanan dan bekalan keperluan untuk diagihkan dengan mangsa banjir. Tambah beliau, UMP juga terpanggil untuk sama-sama menjalankan penyelidikan di penempatanpenduduk bagi menangani isu berkaitan banjir yang terpaksa diharungi penduduk saban tahun.  

Katanya, besar harapan warga UMP agar sedikit bantuan dan sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung penduduk. UMP akan terus memainkan peranan agar kewujudannya dirasai dan usaha ini merupakan salah satu agenda dalam memasyarakatkan kampus melalui usaha kesukarelawanan di kalangan warganya.

Bagi penduduk Kampung Bukit Rangin, Aminah Ismail menghargai sumbangan yang diterima. Keperluan makanan, peralatan mencuci dan selimut ini sangat membantu beliau dan keluarganya. Program berakhir dengan jamuan makan tengahari yang dihadiri bersama 300 penduduk kampung. 

Laporan disediakan oleh Unit Perhubungan Awam, Bahagian Komunikasi Korporat PNC & JHEPA