Kempen 'Zero POLYSTERIN' galak warga UMP bawa bekas makanan sendiri

Pekan, 28 November – Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Pekan   menganjurkan Kempen “Zero Polysterin' kepada warga kampus sebagai menyokong hasrat universiti ke arah kampus hijau bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar serta mengamalkan budaya hidup sihat. Pengarah program yang merupakan pelajar tahun empat Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Mohd Amirullah Anuar  berkata, kempen ini telah dimulakan sejak setahun lalu dengan menetapkan setiap hari Selasa dan Rabu di Kolej Kediaman sebagai hari tanpa polisterin. Namun, bemula bulan November, kempen ini dipergiat pada setiap hari bermula Isnin hingga Ahad dan diselaraskan di seluruh kampus UMP di Pekan.

“Kempen ini merupakan sebahagian usaha mahasiswa dalam sama-sama merealisasikan hasrat universiti untuk menjadikan sebuah universiti  berteknologi hijau selain membantu menjaga kelestarian alam sekitar," katanya.  Tambah beliau, lebih bermakna apabila kempen ini juga adalah salah satu inisiatif dalam menyedarkan golongan mahasiswa bahawa penggunaan polisterin boleh memberi impak yang negatif terhadap manusia dan alam sekitar terutamanya kesan terhadap manusia yang telah dikenalpasti mengakibatkan penyakit kanser. Bahan kimia yang ada dalam polistirin akan meresap ke dalam makanan dan akan mengakibatkan pelbagai jenis kanser. Tambahan pula, kesan polistirin terhadap alam sekitar menyebabkan peningkatan jumlah sampah serta kadar pemanasan global. Justeru itu, alternatif bagi penyelesaian masalah ini  adalah menggantikan polisterin dengan bekas makanan yang berkualiti dan mempunyai kelulusan daripada Jabatan Kesihatan. 

"Usaha ini tidak lagi boleh ditangguhkan kerana tindakan menggunakan polisterin secara berleluasa akan mendatangkan impak negatif terhadap  kesihatan dan alam sekitar pada masa hadapan. "Bahan polisterin dan plastik sukar dilupuskan dan memakan masa lebih 100 tahun untuk diuraikan, jadi saya amat berharap usaha ini mendapat kerjasama warga kampus kepada usaha melestarikan alam sekitar yang lebih mapan di masa hadapan," katanya.

Menurut seorang staf UMP, Nor Hafizah Fadzillah berkata sebagai staf kami turut menyokong usaha murni ini yang secara tidak langsung dapat menjaga kesihatan diri serta membawa sendiri bekas makanan ke kafeteria. Manakala menurut pelajar Ang Poi Xing, 20, Ijazah Sarjana Muda Mekanikal Automotif, kempen ini sangat bagus dipraktikkan di universiti.  Majlis perasmian dihadiri bekas Pengetua Kolej Kediaman Kelima, Dr. Saiful Anwar Che Ghani bertempat di Pusat Aktiviti Pelajar, UMP Pekan baru-baru ini. Kempen bakal diperluas kepada seluruh warga universiti dalam menerapkan kesedaran tentang bahaya penggunaan polisterin serta menggalakkan membawa bekas makanan sebagai alternatif.

   

Disediakan Unit Perhubungan Awam, Bahagian Komunikasi Korporat PNC