In-Smartive bantu anak-anak Kemboja kemahiran berbahasa Inggeris

Dec 02 2014

Phnom Penh, 23 November – Seramai 20 orang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Kelab In-Smartive berganding bahu menjayakan menjayakan kelas intensif kemahiran asas Bahasa Inggeris untuk 142 pelajar di Madrasah al-Nikmah al-Islamiyyah, di desa Bek Ornloung, Wilayah Kampong Cham, Kemboja selama seminggu baru-baru ini. Misi We Care, We Serve yang diadakan bersempena Hari Kanak-Kanak Sedunia yang disambut pada 20 November tersebut dikelolakan bersama oleh In-Smartive dengan kerjasama Pejabat Naib Canselor dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni di bawah naungan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim. 

Pengurus Projek, Siti Aisyah Jilani, 23 dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal memberitahu bahawa modul kemahiran Bahasa Inggeris yang digunakan sepanjang misi tersebut telah dibangunkan sendiri oleh pihak In-Smartive berdasarkan tiga teras utama iaitu Pendedahan (Exposure), Pengenalpastian (Identification) dan Pemahaman (Comprehension). "Memandangkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan kumpulan sasaran berada pada tahap yang amat minimum, maka tiga pendekatan kreatif digunakan untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang interaktif iaitu Latihan Dalam Kumpulan (Smart Circle), Siar Desa (Walkabout) dan Permainan (Games)," katanya.

Mengakui bahawa pengalaman dalam misi kali ini amat mencabar, seorang lagi mahasiswa UMP, Muhammad Abdul Muhaimin Mamat, 21, dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan yang juga Timbalan Presiden Kelab In-Smartive menyatakan bahawa khidmat jurubahasa dari kalangan pelajar madrasah yang boleh berbahasa Melayu terpaksa digunakan sepanjang program bagi memastikan kandungan modul dapat disampaikan dengan berkesan kepada kumpulan sasaran. Sebanyak lima modul kemahiran asas Bahasa Inggeris iaitu Myself, My Family, My Friends, My Village dan My World telah disampaikan selama enam hari program di Bek Ornloung, yang turut menyaksikan para mahasiswa UMP tinggal bersama keluarga angkat mereka di sana. Selain itu, para mahasiswa UMP turut membuat profiling pelajar dan guru Madrasah al-Nikmah al-Islamiyyah untuk mempertingkat pengkalan data sekolah dan kajian masa akan datang.

 

Selain itu, seekor lembu turut diaqiqahkan bagi kenduri desa bersama warga madrasah dan ibu bapa pelajar bersama warga UMP pada hari terakhir program. Acara turut diserikan dengan persembahan choral speaking dalam Bahasa Inggeris oleh para pelajar madrasah yang dilatih sepanjang misi ini berlangsung. Turut hadir memeriahkan kenduri desa ini ialah Imam Besar Daerah Stueng Trang, Ustaz Ahmad Abu Talib; Pengetua Madrasah al-Nikmah al-Islamiyyah, Ustaz Thahir Harun dan Ketua Penyelidik Pejabat Naib Canselor yang juga Penasihat Projek, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain.

Dalam pada itu, delegasi UMP turut berpeluang mengadakan perbincangan bersama Timbalan Rektor (Hubungan Antarabangsa), National University of Management, Dr. Seng Bunthoeun dan dan Mufti Kerajaan Kemboja di Phnom Penh, Okhna Haji Kamaruddin Yusof sebelum berangkat pulang ke Malaysia bagi mengenalpasti potensi kerjasama akademik dan kesukarelawan pada masa hadapan. Misi We Care, We Serve kali ini adalah kesinambungan daripada siri pertama yang dijalankan pada Ogos 2013 yang turut menyaksikan gerak kerja perdana staf, alumni dan mahasiswa UMP menaik taraf dan memperbaiki infrastruktur asas di desa Bek Ornloung. Terletak lebih 190 kilometer ke utara Phnom Penh dengan enam jam perjalanan darat, Bek Ornloung merupakan sebuah desa terpencil dengan komposisi kaum Melayu Cham dan Khmer dengan pertanian sebagai kegiatan ekonomi utama.  Misi ke Kemboja ini berjaya melengkapkan tiga aktiviti mobiliti antarabangsa berteraskan kesukarelawan dan pendidikan (educational volunteerism) sepanjang tahun 2014 oleh In-Smartive selain ke Singapura dan Indonesia pada bulan April dan Oktober lalu.

   

   


Berita disediakan oleh Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain, Ketua Penyelidik Pejabat Naib Canselor yang juga Pensyarah Undang-undang di Fakulti Pengurusan Industri merangkap Penasihat In-Smartive. Foto oleh Muhammad Amin Mohd Faudzi, Mohd ‘Arif Abdul Razak, Mohd Shahrul Izuan Abdul Rahman dan Nurul Farhana Abu Kasim.